Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kajian itu bagi melihat keseluruhan impak daripada projek berkenaan termasuk kesan jangka panjang kepada ekonomi negeri tersebut.

Apatah lagi, tambah beliau, kerajaan negeri juga menerima pelbagai reaksi dan maklum balas terutama daripada komuniti peniaga yang mempersoalkan kewajaran pembinaan LTAK berkenaan.

“Meskipun projek pembinaan LTAK difahamkan akan dibiayai daripada sektor swasta, kita tetap dengan pendirian kajian kebolehlaksanaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

“Dalam masa sama, kita juga berharap kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang sudah melebihi kapasiti maksimum dapat disegerakan seperti mana yang dinyatakan Menteri Pengangkutan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam majlis di Alor Setar, Kedah mengumumkan sebanyak tujuh projek dan program berimpak tinggi diluluskan Kerajaan Pusat di Kedah termasuk LTAK membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pihaknya sebelum ini pernah membangkitkan mengenai status LTAK dalam mesyuarat dengan Kerajaan Pusat sebelum Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta kedua-dua negeri berbincang dengan Kementerian Pengangkutan.

Namun, katanya, sehingga kini, tiada sebarang mesyuarat berkenaan perkara itu diatur dan kerajaan negeri mengambil pendirian untuk terus menunggu.

Dalam masa sama, beliau menuntut penjelasan daripada Kerajaan Negeri Kedah berhubung status LTAK sama ada merupakan perkhidmatan kargo atau penumpang.

Ini kerana, katanya, Mohamed Azmin semalam memaklumkan LTAK akan dibina sebagai lapangan terbang antarabangsa yang mana bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini yang menyebut LTAK akan dibina sebagai lapangan terbang kargo. - UTUSAN ONLINE