Arahan itu dibuat selepas beberapa agensi pihak berkuasa iaitu Polis Marin; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pejabat Tanah dan Galian negeri melakukan siasatan di tapak kerja mengorek pasir tersebut petang tadi.

Menurut jurucakap Polis Marin, pihaknya difahamkan kerja-kerja mengorek pasir itu merupakan projek di bawah anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) dipercayai untuk menanam paip air.

“Ketika meninjau lokasi itu petang ini, kita dimaklumkan ia merupakan projek PBAPP, namun mereka mengakui tidak mempunyai permit untuk melakukan kerja-kerja mengorek pasir tersebut.

“Sehubungan itu, kita mengarahkan kerja-kerja mengorek pasir tersebut dihentikan segera sehingga permit atau kelulusan diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, sekumpulan nelayan di sini mendedahkan mengenai aktiviti korek pasir itu yang dikesan di perairan Jelutong di sini pada jarak kira-kira satu batu nautika dari daratan.

Kerja mengorek pasir itu didakwa berjalan setiap hari sejak awal bulan lalu sehingga menyebabkan air laut menjadi kotor akibat lumpur serta kelodak menyebabkan hasil tangkapan nelayan berkurang lebih 50 peratus.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh ketika dihubungi mengesahkan kerja mengorek pasir tersebut merupakan projek PBAPP namun tidak mengulas lanjut.

Usaha Utusan Malaysia mendapatkan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa sehingga petang ini juga gagal selepas tidak mendapat maklum balas.

Difahamkan, bagi kerja-kerja mengorek pasir di bawah tiga batu nautika dari daratan, kelulusan dan kebenaran terletak sepenuhnya di bawah kerajaan negeri. - UTUSAN ONLINE