Kempen itu yang dijalankan di sekitar Pulau Pinang bermula September hingga November ini menyasarkan tiga objektif utama iaitu untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia berkaitan penyakit mental, mengurangkan stigma sosial berkaitan dengan masalah kesihatan mental dan mendidik belia mengenai cara memberi soko­ngan kepada orang yang mempunyai masalah itu.

Menurut Ahli Jawatankuasa kempen itu, Intan Nurzulaikha Saparudin, kempen itu melibatkan 42 pelajar yang melaksanakan pelbagai program yang diadakan di dalam kampus serta di sekitar George Town.

“Antara program yang agak menarik adalah Rhythm to Heal pada 25 November ini di Lebuh Armenian yang menjadi platform kepada masyarakat untuk berkongsi pengalaman dan pendapat mengenai masalah kesihatan mental.

“Selain itu program lain adalah forum True Stories Unveiled yang menampilkan ahli panel seperti pengarah, pelakon, dan penulis lirik, Isma Yusoof yang juga penghidap bipolar disorder; Pensyarah Perubatan dan Psikitris USM, Dr. Farris Iman Leong dan Pakar Psikologi dari Teh Healinghart Centre, Doreen Teh,” katanya.

Sementara itu, Isma Yusoof yang berkongsi masalahnya ber­ka­ta, dia disahkan menghidap bipolar disorder sejak 2009 dan mengakui kesihatan mental bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan tetapi perlu diberi perhatian serius.

Katanya, ini kerana masyara­kat boleh membantu pesakit dengan membuang stigma yang membelenggu mereka sehingga mereka rasa terpinggir dan di­sisihkan.

“Ketika mula-mula disahkan menghidap penyakit ini, saya seorang yang aktif dan bercakap tanpa henti, sentiasa bercakap dan melakukan perbuatan yang sama secara berulang-ulang serta menjadi pemarah dan sehingga pada satu tahap saya tidak mahu berjumpa dengan orang ramai kerana terlalu tertekan.

“Apabila bertemu pakar psikologi, kehidupan saya mula berubah menjadi lebih positif dan meneruskan rawatan serta ubat-ubatan dengan sokongan­ keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya.

Sementara itu, Farris Iman menjelaskan, orang ramai yang menyedari ada individu di sekitar mereka mempunyai masalah kesihatan mental seperti mengalami tekanan melampau serta kemurungan harus memainkan peranan dengan memberi soko­ngan kepada mereka.