Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang Sdn. Bhd., Datuk Jaseni Maidensa berkata, PTG negeri telah menghantar surat kepada WSSB pada Jumaat lalu supaya memohon permit 4B untuk penghapusan pasir laut dari negeri ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya mengarahkan WSSB untuk secara sukarela menghentikan semua penggalian dan kerja-kerja penambakan tanah sehingga mendapat permit daripada PTG negeri.

“WSSB telah memohon Permit 4B melalui Pejabat Tanah dan Daerah Timur Laut tetapi belum menerima sebarang jawapan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan berita Jumaat lalu yang menyebut pihak berkuasa mengarahkan kerja mengorek pasir di perairan Jelutong itu dihentikan serta-merta kerana dipercayai tidak mempunyai permit.

Mengulas perkara itu, Jaseni berkata, laporan berkenaan tidak tepat dan mengelirukan kerana WSSB dan PBA menghentikan kerja penggalian tersebut secara sukarela, bukannya daripada arahan mana-mana pihak berkuasa.

Menurut Jaseni, projek penggalian dan penambakan tanah di tapak kerja pinggir Macallum itu melibatkan Projek Saluran Paip Dasar Laut ketiga Pulau Pinang, bukannya perlombongan pasir.

Katanya, projek itu telah mendapat kelulusan bersyarat untuk reka bentuk daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri pada 18 Disember 2012.

Tambahnya, projek itu membabitkan pemasangan saluran paip berkembar dasar laut 1, 200 milimeter (mm) di sepanjang kawasan selat 3.2 kilometer di antara Butterworth dan bahagian pulau negeri ini.

Sementara itu, ditanya mengenai rungutan nelayan khususnya di sekitar Jelutong yang mendakwa terjejas mata pencarian ekoran kerja-kerja penggalian tersebut, Jaseni berkata, wakil atau persatuan nelayan sepatutnya berjumpa pihaknya atau kerajaan negeri bagi membincangkan perkara berkenaan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, WSSB juga telah mematuhi syarat-syarat JAS negeri untuk kerja berkenaan termasuk penyerahan laporan bebas bulanan iaitu Laporan Pemantauan Alam Sekitar.

Laporan itu, katanya, mengandungi hasil ujian pada sampel air laut yang diambil pada tiga kedalaman di lokasi 150 meter jauhnya dari tapak projek.

Jelas beliau, laporan itu bulan lalu menunjukkan variasi yang minima dalam parameter kualiti air laut utama berbanding pada November tahun lalu.

“Oleh itu, tidak mungkin kerja-kerja penggalian dan penambakan tanah tersebut boleh memberi kesan kepada penangkapan ikan di kawasan yang beberapa kilometer jauhnya seperti di Batu Uban, Teluk Bahang dan Balik Pulau,” katanya. - UTUSAN ONLINE