Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ini kerana kerajaan masih perlu meneliti hasil laporan dan kajian daripada pelbagai pihak berkaitan projek itu yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) akan datang.

Menurut beliau, kerajaan ketika ini masih menunggu laporan kajian itu daripada pihak berkaitan sebelum MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bermesyuarat.

“Kerajaan mendengar dan mengambil maklum apa yang dibangkitkan oleh semua pihak termasuk persatuan nelayan dan kita akan pastikan dalam keputusan itu kelak, kepentingan nelayan dan semua pihak akan diambil kira oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-34 Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan sudah menerima surat kelulusan bagi laporan kesan penilaian alam sekitar (EIA) projek PSR daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang disertakan bersama-sama 72 syarat dan nasihat yang perlu dipatuhi kerajaan negeri.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar itu di Permatang Damar Laut di sini bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.

Sementara itu, Pengerusi Pen Mutiara, Nazri Ahmad, berkata, nelayan di negeri ini tetap dengan pendirian membantah projek PSR tersebut yang akan memberi impak besar kepada masa depan mereka serta menjejaskan ekosistem marin negeri ini.

Lebih mengecewakan, jelas beliau, kelompok nelayan juga tidak jelas mengenai nasib mereka sekiranya projek tambak laut itu diteruskan selepas seolah-olah tidak mendapat perhatian pihak berwajib meskipun terkesan secara langsung ekoran rancangan tambak laut berkenaan.

“Sebab itu kita harap kerajaan turut memasukkan mengenai nasib kami di dalam laporan EIA itu termasuk plan rasionalisasi supaya masa depan kami terbela,” katanya. - UTUSAN ONLINE