Itulah kata-kata seorang kanak-kanak pesakit kanser, Muhammad Norfareez Haikal Mohd. Nor Hisyam, 9, yang diraikan dalam majlis sambutan hari lahir bertemakan pantai di Batu Feringghi di sini hari ini anjuran Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan).

Muhammad Norfareez Haikal atau lebih mesra disapa Along oleh ahli keluarganya menderita kanser ‘extracranial ewing’s sarcoma’ sejak 2017 dan rawatannya dihentikan sejak Oktober tahun lalu selepas pembedahan di bahagian kepala kanak-kanak itu dilakukan.

Malah tambah menyedihkan, doktor juga mengesahkan tiada lagi rawatan untuk Along dan dia hanya mampu bertahan selama enam bulan sahaja.

Ibu kepada Muhammad Norfareez Haikal, Nor Azimah Mohd. Zain, 36, berkata, dia dan suami, Mohd. Nor Hisyam Ridzuan, 32, tidak memaklumkan kepada anak sulung mereka itu mengenai sambutan hari lahir yang diadakan untuknya di pantai hari ini.

“Sepatutnya hari lahir Along pada 13 September nanti, namun kami dengan bantuan Foccan sengaja sambut awal untuk gembirakannya.

“Kami pun tidak maklumkan kepada Along mengenai sambutan awal hari jadi dia hari ini untuk berikan kejutan kepadanya, kami harap dia gembira hari ini,” katanya ketika ditemui di Batu Feringghi, di sini hari ini.

Menurut ibu kepada empat anak itu, Muhammad Norfareez Haikal mula dikesan menghidap kanser sejak 2017 dan pelbagai rawatan telah dijalani termasuk kimoterapi namun sel kanser anaknya itu telah merebak sehingga ke tulang belakang.

“Sekarang kami hanya mahu gembirakan Along, tunaikan apa sahaja permintaan dia termasuk hasrat untuk ke Legoland.

“Along memang teringin untuk ke Legoland sejak 2017 namun dia sakit ketika itu dan kami terpaksa menangguhkan hasratnya,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden FOCCAN, Maznah Tayib berkata, majlis berkenaan turut mendapat kerjasama Universal Peace Federation (UPF) dan sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan National Chung Hsing University Taiwan.

“Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) Ladang Lada hari ini memaklumkan mereka sudi menaja Along untuk menunaikan permintaannya ke Legoland dan kami harap Along gembira dengan semua ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE