Naib Ketuanya, Datuk Norliza Abd. Rahim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu bertindak segera menyiasat kes itu tanpa perlu menunggu laporan mana-mana pihak memandangkan ia merupakan kes berkepentingan awam.

Tambahnya, pihak berkuasa juga perlu memastikan semua warga asing yang berjaya mendapatkan MyKad sah secara haram menerusi sindiket itu diburu dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Menurut beliau, kes itu tidak sepatutnya berlaku dan menunjukkan wujudnya kelemahan serta kepincangan dalam pentadbiran sesebuah agensi kerajaan yang perlu diatasi segera.

"Kegiatan menjual MyKad sah kepada warga asing ini adalah jenayah berat dan serius kerana melibatkan soal kedaulatan dan keselamatan negara.

"Bagaimana sekiranya MyKad sah ini dibeli oleh warga asing yang memiliki rekod jenayah dan cuba melarikan diri dari tindakan undang-undang di negara asal mereka?

"Bukankah ini satu ancaman kepada keselamatan dan keamanan negara serta rakyat negara ini?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, polis mendedahkan berjaya membongkar sindiket penjualan MyKad sah di negeri ini kepada warga China yang didalangi pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri.

Sementara itu, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO negeri berkata, pihaknya juga berharap mereka yang didakwa dan didapati bersalah dalam kes itu dikenakan hukuman berat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, di negara-negara lain, kes menjual dokumen sah sesebuah negara kepada warga asing disifatkan satu pengkhianatan besar kepada negara dan diperuntukan hukuman berat sebagai pengajaran serius. - UTUSAN ONLINE