Menggunakan sebanyak 2,002 botol air mineral terpakai, Jalur Gemilang bersaiz 14 meter panjang dan empat meter tinggi itu digantung di bahagian pagar sekolah berkenaan.

Menurut Guru Besarnya, Tan Soo Moi, idea Jalur Gemilang daripada botol air mineral terpakai itu merupakan idea pihak pengurusan dan warga sekolah berkenaan dalam mencipta kelainan sempena sambutan kemerdekaan tahun ini.

Ujar beliau, bermodalkan kira-kira RM800, lebih 530 murid dan lebih 30 guru sekolah berkenaan dengan dibantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG); Ahli Lembaga Pengurus sekolah dan komuniti setempat berganding bahu mengecat dan mencantum botol air mineral terpakai itu bagi membentuk Jalur Gemilang.

"Kita memulakan projek ini akhir Julai lalu yang mana botol air mineral terpakai ini ada yang dikutip oleh murid dan guru sekolah selain sumbangan daripada syarikat yang menguruskan perniagaan kitar semula.

"Dalam tempoh itu, semua yang terlibat meluangkan masa selepas waktu persekolahan serta setiap hujung minggu bagi menyiapkan Jalur Gemilang gergasi berkenaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis memperkenalkan Jalur Gemilang gergasi itu yang turut dihadiri Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di sini hari ini.

Menurut Soo Moi, Jalur Gemilang gergasi daripada botol air mineral terpakai itu akan digantung di pagar sekolah berkenaan selagi ia mampu bertahan sama ada di bawah panas terik atau hujan.

Tambah beliau, pihaknya juga menggunakan cat mesra alam sekitar dalam menghasilkan Jalur Gemilang itu dalam usaha mendidik murid-murid mencintai alam sekitar. - UTUSAN ONLINE