Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, fakta sebenar mengenai isu itu telah diputarbelitkan dan menjadi bahan untuk memburuk-burukkan MAINPP serta kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Kita dengar pelbagai perkara dan ia telah diputar belit sehingga ke tahap menfitnah MAINPP.

“Saya telah melihat beberapa klip video yang tular dan saya tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sehingga kini, masih terdapat 19 keluarga menghuni tanah wakaf tersebut meskipun mahkamah telah mengarahkan tanah tersebut dikosongkan pada 14 Februari lalu.

Berdasarkan perancangan awal, sebanyak 470 unit rumah pangsa kos sederhana rendah setinggi 22 tingkat dirancang dibina bagi tujuan penempatan semula 46 penghuni terbabit.

Penghuni ditawarkan rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi serta bayaran sewa rumah sementara sebanyak RM500 sebulan sehingga rumah pangsa kos sederhana di situ siap.

Sehingga tempoh tawaran tamat pada September 2010, hanya 32 penghuni bersetuju dengan tawaran itu manakala 14 lagi menolak.

Menurut Abdul Malik, berdasarkan perbincangan antara MAINPP dan penduduk, Ahad ini adalah tempoh akhir untuk penduduk mengosongkan kediaman masing-masing.

“Mereka telah tandatangan dan bersetuju untuk mengosongkan tanah tersebut malah menerusi pemantauan yang kita lakukan mereka telah berpindah secara berperingkat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tidak ada sebarang perubahan dalam tawaran kepada penduduk termasuk dari segi kadar sewa rumah sementara yang sebelum ini dipohon untuk dinaikkan dari RM500 kepada RM900.

“Tidak ada perubahan dibuat dan persetujuan telah dicapai dalam isu ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE