Pengurusan Ikea dalam kenyataan di sini berkata, tindakan kedua-dua remaja berkenaan amat merbahaya.

“Kami sedar bahwa berada di Ikea bagaikan berada di rumah, namun tindakan ini merbahaya kerana keselamatan pengunjung adalah keutamaan kami.

“Remaja terbabit tidak terlibat dalam kecurian atau kerosakan dan kami juga mempunyai budaya syarikat bahawa setiap orang pasti melakukan kesalahan tetapi yang penting ialah mempelajari sesuatu daripadanya,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, dua remaja menerima padah apabila ditahan polis selepas menceroboh Ikea kerana terpengaruh dengan cabaran bermalam di gudang tersebut.

Difahamkan, cabaran bermalam itu dimulakan pada 2016 selepas seorang selebriti YouTube, Bakuna Fatata merakam video tidur semalaman di Ikea.

Cabaran tersebut menggalakkan penonton bersembunyi di dalam premis perniagaan seperti Ikea atau pusat beli-belah tanpa ditangkap oleh pengawal keselamatan.

Kenyataan tersebut menambah, pihak Ikea juga telah menarik balik laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Oleh kerana ia melibatkan pihak polis dan ibu bapa mereka serta kami percaya mereka telah mendapat pengajaran, kami telah menarik balik laporan polis,” katanya. - UTUSAN ONLINE