Menurut beliau, Zakir sebenarnya seorang yang amat terbuka dan sanggup berdialog dengan sesiapa sahaja secara ilmiah dan rasional.

Bagaimanapun, kata beliau, penguasaannya yang hebat dalam bidang ilmu perbandingan agama dan kecekapannya berhujah dengan amat cemerlang untuk menyokong kebesaran Islam menyebabkan beliau dimusuhi oleh mereka yang tidak mampu berdepan dengannya.

Tambahnya, rakyat Malaysia secara umum mengetahui agama Islam tercatat di dalam Perlembagaan sebagai Agama Persekutuan yang sering ditafsirkan sebagai agama rasmi Negara.

Maka, ujarnya, selaras dengan keistimewaan itu, Islam selayaknya diberi ruang yang lebih daripada agama-agama lain untuk ditampilkan ke pengetahuan seluruh warga Malaysia supaya difahami segala ajarannya yang sebenar tanpa halangan termasuk usaha menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam.

"Mereka mesti bersikap baik sangka terhadap usaha dakwah yang bertujuan memberi pencerahan mengenai prinsip-prinsip akidah (kepercayaan) dan amalan yang terkandung di dalam ajaran agama Islam di samping berusaha menyingkirkan perasaan fobia atau prasangka terhadapnya.

"Mereka juga perlu tahu bahawa Islam tidak suka memaksa sesiapapun untuk menerimanyanya sebagai anutan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Wan Salim, sesiapa yang mengkaji Islam tahu tanpa keraguan salah satu prinsip yang dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis ialah tiada paksaan dalam menganut agama itu.

Katanya, satu perkara yang perlu diketahui oleh semua orang adalah menyeru manusia kepada agama Islam adalah diwajibkan ke atas umat Islam.

"Ini disebabkan oleh keyakinan Islam adalah agama yang sebenar datangnya dari Allah SWT yang mencipta manusia dan alam semesta seluruhnya.

"Ini bukan keyakinan kosong yang lahir daripada perasaan taksub membabi buta, tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah dan saintifik yang kuat, di samping bersandar kepada teks agama (Islam) yang tiada keraguan lagi tentang kesahihannya," katanya. - UTUSAN ONLINE