Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, fasa tersebut merupakan sebahagian daripada fasa pertama sistem baharu itu dengan 36,000 petak tempat letak kereta (TLK) disediakan di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, PSP adalah perkhidmatan integrasi teknologi maklumat (ICT) yang melibatkan pengurusan dan operasi bagi petak TLK secara pintar yang diuruskan oleh Syarikat HeiTech Padu Berhad.

"Sistem ini menggunakan kombinasi teknologi Internet of Things (IoT), 'cloud computing', sistem pandu arah dan bayaran secara online," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, untuk permulaan, kerajaan negeri akan memberi kredit percuma berjumlah RM5 kepada 10,000 pengguna pertama yang menggunakan aplikasi PSP tersebut menerusi penggunaan teknologi e-wallet seperti Boost, Touch ‘n Go dan Grab Pay.

Katanya, inisiatif itu bagi menggalakkan orang ramai menggunakan sistem tersebut selain sistem dompet online (e-wallet).

"Kadar bayaran telah dipersetujui untuk kita kekalkan iaitu iaitu 80 sen sejam bagi kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 40 sen sejam bagi kawasan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)," katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi pas bulanan pula, kadar bayaran kekal RM150 sebulan di kawasan MBPP dan RM75 sebulan di kawasan MPSP.

"Waktu kawalan kadar bayaran TLK yang diselaraskan bagi seluruh negeri ini adalah Isnin hingga Sabtu kecuali hari Ahad dan cuti umum bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang," ujarnya. - UTUSAN ONLINE