Keadaan kanak-kanak berusia 11 dan 13 tahun itu mendapat perhatian seorang pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan yang melihat mereka tidur di pondok berkenaan Khamis lalu sebelum menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Siasatan kemudiannya mendapati kedua-dua beradik itu melarikan diri dari rumah mereka di Taman Tun Sardon di sini sejak 1 Mac lalu selepas sering dipukul bapa sendiri termasuk ditumbuk dan disepak.

Malah, pemeriksaan kesihatan juga mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian mata kiri kedua-dua beradik berkenaan dengan salah seorang mereka mengalami retak pada rusuk sebelah kanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, kanak-kanak malang itu mendakwa bapa mereka sering memukul mereka di seluruh bahagian badan menggunakan tangan dan kaki meskipun hanya melakukan kesalahan kecil.

Katanya, kali terakhir mereka dipukul antara Disember tahun lalu dan Januari lalu termasuk salah seorang mereka dipijak sehingga mengalami kecederaan retak tulang rusuk kanan.

Bagaimanapun, tambah beliau, meskipun di sebalik kecederaan yang dialami mereka akibat sering dipukul, kanak-kanak berkenaan tidak pernah dibawa mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

“Bertindak daripada laporan kes ini, kita telah menahan bapa mangsa berusia 53 tahun yang bekerja sebagai pemandu untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, kedua-dua beradik itu hanya tinggal bersama bapa selepas ditinggalkan ibu mereka sejak kecil dan kedua-dua mereka kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini. - UTUSAN ONLINE