Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, masalah yang sudah berlarutan sejak 40 tahun lalu itu bukan sahaja mencemarkan air Sungai Kereh di kawasan tersebut, malah menyebabkan bau busuk yang mengancam lebih 2,000 penduduk serta 400 pesawah di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, tinjauan pihaknya mendapati pengusaha ternakan babi di kawasan itu mengalirkan sisa buangan najis ternakan mereka ke dalam sungai menyebabkan airnya menjadi hitam pekat dan berbau busuk.

“Keadaan akan bertambah teruk pada waktu malam dan ketika hujan yang mana lebih banyak sisa najis babi dilepaskan oleh pengusaha terbabit ke dalam sungai.

“Masalah ini telah menyebabkan sumber bekalan air untuk tanaman padi yang diusahakan oleh para pesawah di lima buah kampung terbabit tercemar dan mengalami kerosakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Antara kampung yang terlibat dengan masalah itu adalah Kampung Air Melintas Kecil; Kampung Air Melintas Besar; Kampung Permatang Berangan; Kampung Tok Bedu dan Kampung Kubang Menerong.

KESAN kekotoran dapat dilihat dengan jelas di dalam anak sungai akibat pembuangan sisa najis babi.
KESAN kekotoran dapat dilihat dengan jelas di dalam anak sungai akibat pembuangan sisa najis babi. 

Menurut S. M. Mohamed, CAP bimbang sekiranya masalah itu dibiarkan berlanjutan akan menyebabkan penduduk di sekitarnya berdepan pelbagai risiko kesihatan serta berbagai-bagai penyakit berbahaya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang; Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil tindakan segera mengatasi masalah tersebut.

“Jabatan Kesihatan misalnya, perlu melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tidak ada sebarang penyakit berpunca dari pencemaran ini berlaku di kawasan itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE