Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, pihak berkenaan mempunyai tempoh 20 hari untuk berbuat demikian seperti diarahkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Katanya, meskipun pihak bertanggungjawab yang melonggokkan sisa pepejal industri itu sehingga kini masih gagal dikesan, namun MPSP telah mengarahkan tuan tanah mengeluarkan sisa buangan itu.

“Perbuatan ini jelas tidak bertanggungjawab yang mana bukan sahaja boleh menjejaskan alam sekitar malah mengancam keselamatan penduduk sekitar,” katanya.

AHLI Parlimen Bukit Mertajam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong ketik

AHLI Parlimen Bukit Mertajam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong ketika meninjau kawasan longgokan sampah haram di Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh, Bukit Mertajam petang tadi. - UTUSAN ONLINE

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di tapak pembuangan sampah haram itu petang tadi yang turut disertai Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkusaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abdul Aziz Barmin.

Dalam pada itu, Abdul Azis berkata, pihaknya sudah mengambil sampel sebahagian sisa buangan terbabit hari ini untuk dijalankan ujian makmal bagi menentukan sama ada mengandungi bahan kimia berbahaya.

“Setakat ini kita belum mengetahui kandungan bahan buangan berkenaan,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan kawasan seluas kira-kira dua hektar berdekatan ladang kelapa sawit itu dijadikan pusat pembuangan sisa pepejal haram dipercayai sejak dua hingga tiga tahun lalu.

Longgokan pelbagai jenis bahan buangan itu mengeluarkan bau busuk serta menyebabkan persekitaran kawasan tersebut berdebu sehingga mengundang keresahan masyarakat sekitar.

Dalam pada itu, difahamkan pihak berkuasa hari ini turut menyita sebuah lori yang dipercayai sedang membawa keluar bahan sisa tersebut bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE