Selama empat tahun juga, Mohd. Sofian yang bekerja sebagai pekerja awam secara kontrak di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berulang alik ke hospital untuk mengenal pasti kesakitan dialami itu sehingga menyebabkan tulang belakangnya semakin membengkok.

Hanya pada awal Februari lalu doktor dapat mengenal pasti penyakitnya itu yang dikenali sebagai ankylosing spondylitis.

Bagaimanapun, bapa kepada dua orang anak berusia 12 hingga tujuh tahun itu kini runsing apabila kos rawatan bagi me­ngubati penyakitnya itu mencecah RM3,500 sebulan malah rawatan diperlukan mengambil masa kira-kira setahun untuk memastikan dia pulih kembali.

Mohd. Sofian berkata, pe­nyakit itu menyebabkan tulang belakangnya menjadi kecil dan membengkok sehingga dia tidak mampu membuat kerja-kerja berat.

“Doktor kata saya perlu dirawat sehingga setahun di mana saya perlu mengambil suntikan khas untuk penyakit ini bernilai RM3,500 sebulan.

“Saya perlukan kira-kira RM42,000 untuk membiayai kos rawatan ini namun saya memang tidak mampu kerana saya perlu mendahulukan keperluan untuk anak-anak dan isteri yang bergantung sepenuhnya dengan saya,” katanya ketika ditemui di Taman Sutera di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Sofian dia tidak mampu membiayai kos rawatan penyakitnya itu memandangkan pendapatan bulannya hanya sekitar RM1,500 sahaja.

“Saya berharap agar rakyat negara ini yang prihatin dapat membantu saya untuk meneruskan rawatan bagi me­ngubati penyakitnya ini kerana rawatan akan bermula April ini.

“Saya juga sedang memohon bantuan daripada pejabat zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain namun masih tiada jawapan daripada pihak berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, isteri Mohd. Sofian Wan Nor Azian Abdullah, 41, berkata, dia juga tidak bekerja dan amat berharap untuk melihat suaminya pulih semula.

“Selama empat tahun saya lihat dia berada dalam kesakitan sepanjang masa, tidur pun dia terpaksa tidur dalam keadaan duduk di kerusi,” katanya.

Buat mereka yang ingin membantu Mohd. Sofian anda boleh menelefonnya di talian 017-4717472.