Mereka yang terdiri daripada 27 dewasa; 23 kanak-kanak dan dua warga emas serta seorang bayi itu dipindahkan ke Dewan Muhibbah, Merbau Kudung, Sungai Dua di sini sejak pukul 5.30 pagi tadi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, antara kawasan terlibat banjir adalah kawasan perindustrian dan Flat Mak Mandin; Kampung Lahar Ikan Mati; Kampung Setol; Kampung Merbau Kudung; Kampung Sungai Lokan dan Kampung Chegar.

“Buat masa ini, kesemua mangsa yang dipindahkan itu diletakkan di bawan perhatian dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sebagai penyelesaian jangka pendek, kita akan menjalankan kerja pembersihan dan penyelenggaraan serta memastikan tiada halangan ke atas sistem saliran sedia ada.

“Selain itu, kita juga akan melaksanakan pembaikan segera ke atas semua struktur yang telah rosak di kawasan kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, di bahagian pulau pula, beberapa buah rumah di Teluk Kumbar dan Balik Pulau turut dilaporkan dinaiki air melebihi paras buku lali awal pagi ini.

Antara kawasan yang terlibat adalah Flat Sri Indah; Kampung Pulau Betong; Permatang Tengah dan Kampung Sulup.

Beberapa kejadian pokok tumbang juga dilaporkan berlaku sejak petang semalam dan lewat pagi tadi antaranya di Jalan Paya Terubong menuju ke Relau dan ke Air Itam.

Kejadian banjir kilat dan pokok tumbang itu menyebabkan kesesakan teruk di jalan-jalan utama di kedua-dua bahagian negeri ini sehingga kini termasuk di atas Jambatan Pulau Pinang menghala kedua-dua arah dan di Lebuh Raya Jelutong.

Negeri ini serta beberapa kawasan di bahagian utara negara mengalami keadaan hujan yang berterusan sejak empat hari lalu dan dijangka berterusan sepanjang hari ini. - UTUSAN ONLINE