Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, tiga lelaki tempatan berusia 19 hingga 26 tahun cedera selepas terbabit dalam pergaduhan dengan antara 15 hingga 20 lelaki lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk luka di kepala dan lengan kiri.

Malah, kata beliau, salah seorang mangsa turut cedera akibat kesan tikaman di bahagian kiri perut dan kesemua mereka dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

“Berdasarkan kecederaan mangsa, kita percaya terdapat senjata digunakan ketika pergaduhan itu namun siasatan terperinci masih dijalankan.

“Buat masa ini, kita juga sedang memburu suspek-suspek terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. - UTUSAN ONLINE