Namun, anak kelahiran Kuala Muda dekat Penaga itu tidak berputus asa dan memohon mengikuti pengajian pradiploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.

Menurut Nur Atiqah, 26, ketika di peringkat diploma juga dia sering gagal dalam peperiksaan sehingga memaksanya mengulang semula beberapa subjek sebelum akhirnya berjaya melangkah ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Saya sedar bukanlah tergolong dalam kategori pelajar pandai tetapi saya ada semangat untuk belajar. Itulah sebabnya saya tidak berputus asa biarpun beberapa kali gagal di peringkat diploma.

“Pada masa sama, ayah saya memberi dorongan untuk sambung ijazah selain saya juga memasang impian untuk memakai selempang pelajar terbaik pada hari konvokesyen,” katanya yang terpilih sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Khas Sarjana Muda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-89 di sini, hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad. – UTUSAN ONLINE