Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, syarat-syarat tersebut merangkumi pematuhan terhadap kawalan kerja tanah; kawalan dan pengawasan kualiti air, udara, bunyi bising dan getaran; pengurusan bahan buangan; penilaian risiko dan langkah-langkah kawalan.

Beliau menjelaskan, selain itu, antara syarat berkenaan ialah Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) hendaklah disediakan dan mendapat kelulusan daripada JAS negeri sebelum kerja-kerja pembinaan dijalankan.

“Semua aspek mengurus perdana juga hendaklah dilaksanakan selain Audit Alam Sekeliling dijalankan oleh juruaudit berdaftar sepanjang tempoh projek.

“Malah, Laporan Kualiti Alam Sekitar perlu dihantar ke JAS negeri secara berkala iaitu sekitar tiga bulan sekali,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Kon Yeow mengumumkan projek PIL 1 telah mendapat kelulusan EIA secara bersyarat daripada JAS dan dijangka dimulakan pada tahun depan.

PIL 1 merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dijangka bernilai RM46 bilion.

Menurut Kon Yeow, antara syarat lain yang perlu dipatuhi ialah pegawai alam sekitar yang kompeten perlu dilantik dan bertanggungjawab terhadap pengurusan alam sekitar dan langkah-langkah mitigasi.

“Butiran syarat-syarat yang diterima JAS akan dijadikan umum mengikut budi bicara kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bahawa PIL 1 adalah satu pembaziran, Kon Yeow berkata, projek itu adalah satu keperluan kepada rakyat negeri ini dalam mengatasi masalah lalu-lintas.

“Ketika ini kita sudah berdepan masalah kesesakan lalu-lintas, bayangkan apa yang akan berlaku pada masa depan jika projek PIL 1 tidak dilaksanakan.

“Adakah pelancong dan pelabur asing akan datang ke negeri ini jika masalah lalu-lintas yang kritikal ini tidak diatasi,” katanya. - UTUSAN ONLINE