Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pembukaan baharu itu sebagai tambahan kepada sebanyak 10 buah Anjung Kasih yang sudah dibuka di seluruh negara setakat ini.

Menurut beliau, daripada lima buah Anjung Kasih baharu itu, sebuah iaitu di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis sudah siap dibina dan akan diserahkan serta dibuka pada bila-bila masa.

Tambahnya, empat lagi yang dirancang dibina dan dijangka siap tahun ini adalah di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar (Kedah); Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru; Hospital Duchess of Kent Sandakan (Sabah) dan Hospital Melaka.

“Sejak dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 2006, Anjung Kasih ini telah memberi manfaat kepada 62,551 orang penghuni.

“Dengan Anjung Kasih ini, kerajaan mampu membantu rakyat menjimatkan kos perbelanjaan yang mana secara anggaran, mereka terpaksa berbelanja antara RM100 hingga RM200 sehari jika menginap di hotel atau rumah tumpangan,” katanya.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berucap merasmikan Anjung Kasih YKN di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.9 juta untuk kos keseluruhan Anjung Kasih yang turut mendapat sokongan sebanyak RM1.6 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), syarikat korporat dan penyumbang-penyumbang prihatin.

Tambahnya, projek itu merupakan satu

pendekatan proaktif bidang “medicosocial” yang menggabungkan aspek-aspek perubatan dan khidmat sosial.

“Kerajaan sentiasa berusaha meringankan bebanan rakyat melalui penawaran penginapan percuma supaya mereka dapat bersama-sama menemani anggota keluarga yang sakit untuk menjalani rawatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE