Program itu merupakan anjuran Pertubuhan Belia Liga Muslim (PBLM) dengan kerjasama Iskandar Catering Ent yang diadakan setiap tahun bagi berkongsi rezeki daging kambing korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Belia dan Ketua Pemuda PBLM, Jamil Gani, program itu merupakan acara tahunan yang diadakan pihaknya dengan tahun ini merupakan tahun keenam.

Ujarnya, program itu sebelum ini diadakan secara bergilir di Masjid Kapitan Keling di sini dengan program tahun-tahun sebelum ini hanya melibatkan lima ekor kambing sebelum lebih ramai pihak tampil menaja sehingga 12 ekor kambing tahun ini.

Katanya, selain mengeratkan silaturahim dengan penduduk setempat khususnya ahli kariah di sesebuah masjid, program itu juga bertujuan mengajak mereka yang berkemampuan untuk melakukan ibadah korban kambing seterusnya meraikan golongan kurang berkemampuan.

Jelas beliau, menerusi program itu, pihaknya mendapat sumbangan sebanyak 12 ekor kambing daripada beberapa pihak yang disembelih pada hari ketiga Aidiladha iaitu Selasa lalu.

"Daging kambing korban ini kemudiannya disimpan sebelum seramai 50 ahli jawatankuasa PBLM bergotong-royong memasaknya bermula pukul 6 pagi tadi untuk diedarkan kepada jemaah solat Jumaat di Masjid Melayu Lebuh Aceh," katanya kepada pemberita selepas program tersebut.

Dalam pada itu, Jamil turut memohon maaf kepada jemaah yang tidak berpeluang mendapatkan bungkusan nasi briyani kambing korban tersebut disebabkan sambutan menggalakkan selepas dihadiri hampir 3,000 orang.

Kata beliau, pihaknya tidak menyangka program itu mendapat sambutan luar biasa sekali gus berharap dapat menyediakan lebih banyak bungkusan dan mensasarkan sumbangan antara 15 hingga 20 ekor kambing bagi program sama tahun depan.

Dalam pada itu, ujarnya, PBLM pada bulan depan juga merancang menganjurkan pertandingan sukan online atau e-games bagi mendedahkan belia di negeri ini kepada cabang sukan tersebut secara lebih bermanfaat.

"Kita merancang mengadakan sukan e-games ini di bangunan Liga Muslim di sini dan aktiviti ini juga merupakan salah satu program yang kita sasarkan untuk dianjurkan setiap bulan sepanjang tahun ini," katanya. - UTUSAN ONLINE