Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, projek tersebut bakal dikendalikan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Beliau berkata, pertunjukan malam itu merupakan sebahagian daripada produk pelancongan bagi menarik kunjungan pelancong dengan jalan-jalan sekitar Padang Ipoh juga akan dimanfaatkan dengan penganjuran seperti bazar dan festival.

“Segala perincian telah pun dibincangkan, jadi kita sekarang berada di peringkat penentuan terakhir.

“Saya yakin menjelang hujung tahun ini, kita akan ada lebih banyak lagi program yang akan wujud di Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Bandar Selamat dan International Design Festival 2019 anjuran Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama MBI di Padang Ipoh hari ini.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakwan Zakaria dan Pengarah PUO, Dr. Zairon Mustapha.

Dalam pada itu, Kar Hing berkata, terdapat banyak cadangan untuk komponen pertunjukan malam dalam ‘Ipoh Light & Sound Show’, namun ia masih belum diputuskan.

“Antara cadangannya termasuklah projek ‘mapping’, arca dan rekaan seni bina, namun yang penting, temanya ialah cahaya dan bunyi.

“Oleh itu, akan ada banyak interaksi dengan pengunjung,” katanya. - UTUSAN ONLINE