Jumlah itu merupakan belanjawan lebihan kerajaan negeri selama sembilan tahun berturut-turut sejak kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) membentangkan belanjawan sama selama lapan tahun sejak 2011.

Menteri Besar, Osman Sapian berkata, kutipan hasil negeri bagi tahun depan dianggarkan mencapai RM1.55 bilion, naik 3.2 peratus berbanding tahun lalu.

“Berdasarkan kedudukan ke­wangan negeri yang terus berdaya tahan, maka kerajaan ne­geri mencadangkan anggaran belanja pada tahun 2019 adalah sebanyak RM1.54 bilion dan jumlah ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM46.15 juta.

“Belanjawan 2019 dijangka akan mengalami lebihan atau surplus sebanyak RM3.43 juta berpunca daripada dasar fiskal negeri yang berkesan dengan pelaksanaan perbelanjaan berintegriti serta pengurusan cekap atas hasil yang mapan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2019: Menerajui Perubahan Menggalas Harapan Bangsa Johor Bestari di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Kempas berkata, secara keseluruhan belanjawan kali ini merangkumi 28 sektor dan 207 titik fokus berdasarkan enam teras strategik.

Katanya, enam teras strategik tersebut adalah yang pertama menjamin kesejahteraan rakyat, pembangunan lestari dan pemuliharaan sumber dan pembangunan infrastruktur, penggerak zon perdagangan dan komuniti digital.

Menurutnya, teras keempat meliputi demokrasi dinamik dan kesaksamaan sosial, memodenkan sistem pendidikan Islam, modal insan dan warisan budaya serta urus tadbir cekap, berintegriti dan demokratik.

Menteri Besar berkata, sejumlah RM949.34 juta, tidak termasuk caruman kepada kumpulan wang pembangunan diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus meliputi emolumen sebanyak RM496.16 juta, per­khidmatan dan bekalan (RM259.86 juta), aset (RM13.68 juta) dan perbelanjaan lain (RM179.64) juta, manakala perbelanjaan pemba­ngunan tahun 2019, diperuntukkan sebanyak RM600 juta melalui caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Dalam perkembangan lain, Osman turut mengumumkan pelupusan hutang kerajaan ne­geri dengan kerajaan Persekutuan berjumlah RM189 juta.

Katanya, daripada jumlah asal hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM334 juta, persetujuan penyelesaian ke atas jumlah baki hutang sebanyak RM145 juta sudah diusahakan dan pada peringkat akhir run­dingan untuk dilupuskan oleh pihak kerajaan Persekutuan.