Pegawai Daerah Pontian, Ka­ma­ruddin Abdullah berkata, penganjuran acara itu dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Majlis Kebudayaan Daerah itu berjaya menarik perhatian kumpulan yang mewakili mukim, jabatan kerajaan malah peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Masyarakat juga berperanan memelihara dan menjaga warisan seni budaya termasuk tarian zapin dan pertandingan ini direalisasikan dengan tujuan mencungkil bakat baharu serta kumpulan zapin yang mampu diketengahkan ke peringkat negeri mahupun antarabangsa.

“Pontian tidak ketinggalan de­ngan dua tarian zapin yang dikenali ramai iaitu zapin Parit Mastar dan zapin Seri Bunian, seperti mana popularnya zapin Pekajang, Tenglu dan Koris,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan tersebut.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Pontian, Zaid Abd. Rahman. Turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Seni Budaya YWJ, Syarifah Noorfaiza Syed Rusli dan Yang DiPertua Majlis Daerah Pontian, Suhairi Hashim.

Pertandingan menyaksikan Hos­pital Pontian mewakili daerah untuk ke peringkat negeri selepas menjuarai kategori Jabatan Kerajaan manakala Mukim Sungai Pinggan diumumkan sebagai juara ka­tegori Mukim.

Kategori Sekolah Menengah dimenangi Maktab Rendah Sains Mara Pontian manakala kategori Sekolah Rendah diungguli Sekolah Kebangsaan Serkat sementara ka­tegori Terbuka menjadi milik Kumpulan Sri Warna.

Menurut Kamaruddin, tradisi zapin wajib dipelihara menerusi latihan dan asuhan di peringkat sekolah rendah lagi selain sokongan jurulatih dan penggiat zapin.

“Dengan cara ini sahaja, tarian zapin yang menjadi ikon kepada Johor terus subur dan mempunyai tenaga pelapis untuk mempertahankan khazanah ini sepanjang zaman,” katanya.