Namun, bagi kanak-kanak itu di daerah ini, mereka bertuah apabila berpeluang menyertai kelas tuisyen secara percuma yang diadakan pada setiap hari di Pejabat Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan di sini.

Program tersebut adalah hasil inisiatif Persatuan Kecemerlangan dan Pembangunan Perlis yang mendapat sokongan penuh Wan Saiful sebagai penasihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu khususnya dalam membantu anak-anak di kawasan ini dalam aspek pendidikan.

Selain tuisyen percuma, program yang diperkenalkan sejak dua bulan lalu di daerah ini, turut menyediakan program tahfiz yang disertai oleh 20 orang pelajar tingkatan satu.

Seramai 80 orang murid tahun empat dan lima dari beberapa buah sekolah rendah di sini dipilih menyertai program tuisyen percuma bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris itu

Program tersebut diadakan setiap hari iaitu pada Isnin hingga Jumaat, dengan kelasnya bermula pada pukul 8.30 sehingga 10 malam, manakala Sabtu dan Ahad berlangsung dari pukul 10 pagi sehingga pukul 1.30 petang.

Program tersebut telah memberi manfaat kepada murid-murid terbabit dalam meningkatkan penguasaan dan kemahiran mereka dalam dua mata pelajaran penting itu.

Wan Saiful ketika ditemui selepas meninjau program tersebut di sini, hari ini berkata, matlamat program itu adalah bagi memastikan murid-murid dari keluarga yang berpendapatan rendah dari kawasan ini dapat menyertai kelas tambahan berkenaan.

“Saya akan sentiasa memberi sokongan, membantu, memberi khidmat nasihat dan berkongsi kepakaran dengan NGO berkenaan selain membantu mencari dana bagi menjayakan program yang memberi manfaat besar itu.

“Saya akan membantu sedaya upaya saya dan memberi komitmen kepada penduduk khususnya di kawasan Arau ini,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). - UTUSAN ONLINE