Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Teh Chai Ann berkata, ramai pengguna merungut selepas bil elektrik yang diterima mereka melambung tinggi malah ada sehingga mencecah dua kali ganda daripada biasa.

Katanya, situasi tersebut berlaku mungkin disebabkan kesilapan bacaan meter yang tidak disengajakan oleh pihak TNB.

“Mungkin ada kesilapan bacaan meter. Jadi bagi mengatasi masalah ini, TNB perlu memberi rebat semula pada bil seterusnya dengan mengurangkan jumlah caj yang terlebih itu.

“Dengan cara ini, mungkin bil elektrik para pengguna berkurangan pada bulan seterusnya. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ini, situasi yang berlaku itu sedikit sebanyak telah menjejaskan pengguna,” katanya ketika ditemui selepas majlis bersama pengamal media negeri ini di sini malam tadi.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam kenyataan di sini semalam berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap rungutan dan aduan pelanggan berhubung bil elektrik yang tinggi.

Menurut kenyataan itu, pihaknya juga telah menerima dan melayani aduan mengenai perkara itu yang dikemukakan terus di Kedai Tenaga.

"Bagaimanapun, tiada penjelasan umum dapat diberikan kepada rungutan tersebut kerana setiap kes perlu diteliti terlebih dahulu dan ia berbeza antara satu sama lain.

"Oleh itu, TNB memohon kerjasama pengguna yang terlibat untuk berurusan terus dengan Kedai Tenaga yang berdekatan kerana data pengguna hanya boleh diakses di Kedai Tenaga," demikian menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, Chai Ann memberitahu, kerajaan negeri terus giat membawa pembangunan di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri perlu berusaha sendiri dalam membawa pelabur atau bekerjasama dengan pihak swasta bagi melaksanakan sesebuah projek dengan tidak terlalu bergantung kepada Kerajaan Pusat.

“Kita adalah negeri pembangkang dengan Pusat hanya memberi peruntukan dalam menguruskan negeri. Soal pembangunan, kita kena usaha sendiri.

“Pada masa ini, kerajaan Pusat hanya menyambung projek-projek yang diluluskan kerajaan terdahulu, tanpa ada projek baharu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi. - UTUSAN ONLINE