Mereka berkumpul di kawasan lapang di situ pada setiap hari kecuali Ahad untuk menjalani la­tihan seni mempertahankan diri yang dikenali sebagai Silat Bunga.

Bagi mereka, inilah salah satu cara untuk memastikan tubuh badan kekal sihat dan cergas selain boleh mempertahankan diri daripada ancaman musuh.

Namun lebih penting seni silat itu boleh menyuburkan kembali warisan Melayu yang semakin dipinggirkan.

Menerusi silat, setiap ahli di­bentuk keperibadiannya de­ngan nilai murni dan adab Melayu yang tinggi.

Ini termasuklah memberi salam ketika bertemu atau masuk ge­langgang, menghormati orang le­bih berusia dan patuh arahan ketua.

Mereka yang ingkar seperti sengaja bergaduh atau menyerang individu lain dan terlibat dalam perilaku jenayah, diminta segera meninggalkan kumpulan itu.

Begitu peraturan ketat dikenakan terhadap semua pelatih dan ahlinya bagi memastikan Silat Bunga tidak dicemari elemen negatif.

Ketua Jurulatih Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah Cawang­an Perlis, Yatim Mustafa Mohmad, 60, berkata, pihaknya sentiasa tegas terhadap perilaku ahlinya.

“Maka sebab itu, kita galakkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka menjalani seni silat ini yang mempunyai banyak kebaikan.

“Terdapat seramai kira-kira 40 orang pelatih berusia enam hingga 50 tahun, menjalani latihan setiap hari di sini bermula dari pukul 9 malam sehingga 12 tengah malam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa Silat Bunga bebas daripada unsur mistik dan tahyul seperti mantera serta jampi sebaliknya hanya menggunakan surah al-Fatihah untuk memulakan dan menutup latihan.

Mereka yang berminat menyer­tai Silat Bunga boleh menghu­bungi Pak Ku di talian 019-9411834.