Pokok harumanis yang berbuah secara bermusim ini sedikit sebanyak membuatkan para penggemarnya terpaksa menunggu hampir setahun untuk menikmati kembali mempelam yang dikatakan paling mahal di Malaysia setakat ini.

Ekoran itu, seorang wa­nita rasa terpanggil untuk tidak melihat harumanis hanya dimakan mentah atau digan­dingkan dengan pulut sahaja kerana ia dilihat sebagai sangat biasa.

“Tidak dinafikan semua orang yang datang ke Perlis hendak makan harumanis tetapi kalau berada di luar musim mungkin tertanya-tanya kalau ada lain-lain produk yang dihasilkan berasaskan mempelam ini,” kata Norita Jirin, 47, yang menjadikan mempelam ini dalam bentuk beberapa produk yang dikeluarkannya.

Jelas wanita yang berasal dari Kelantan ini, kalau melancong ke Cameron Highland boleh dibawa pulang produk sambal strawberi maka Perlis juga tidak kalah apabila kini sudah ada sambal harumanis.

Beliau akui, uniknya sambal ini kerana bahan utamanya adalah mempelam harumanis.

Cuma kata Norita, ia telah ditambah nilai dengan bahan-bahan lain bagi menyedapkan lagi rasa sambal ini termasuk ikan talang dan sebagainya.

“Sambal harumanis Nick He­ritage ini bukan sahaja enak dimakan bersama dengan roti, roti canai, nasi lemak dan bubur nasi malah sesuai untuk dijadikan sebagai perencah nasi goreng,” katanya yang menetap di Perlis sejak lima tahun lalu.

Berikutan itu Norita diberikan peluang untuk menunjukkan demonstrasi membuat nasi goreng sambal harumanis di Pusat Pertanian Bukit Bintang di Jalan Sungai Batu Pahat di sini baru-baru ini.

Pengunjung yang datang untuk membeli harumanis juga berpeluang untuk merasa keenakan nasi goreng sambal harumanis.

Seorang pengunjung, Maznah Saidon, 62, dari Selangor berkata, sekurang-kurangnya dengan adanya sambal harumanis ini membolehkan orang luar sepertinya dapat membeli produk mempelam ini semasa di luar musim.

“Selain itu ia juga dapat dijadikan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang untuk diberikan kepada saudara dan rakan,” katanya yang datang ke Perlis untuk menghadiri majlis kahwin.

Maznah tidak me­nyangka rasa harumanis masih kekal dalam sambal yang dihasilkan oleh Norita.

Beliau berkata, sepatutnya le­bih banyak lagi produk berasaskan harumanis dikeluarkan oleh penduduk Perlis di mana bukan sahaja untuk jualan di dalam negeri malah dilebarkan sehingga ke luar pada masa depan.

Sementara itu Norita menambah, beliau juga telah cuba untuk menghasilkan beberapa produk lain termasuk tart harumanis, biskut harumanis, kuih sepit (love letter) harumanis dan juga jus ready for drink harumanis.

Beliau berkata, sebagai usahawan di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) maka produk keluarannya boleh didapati di pejabat MADA C-1, Kilo­meter 1, Jalan Raja Syed Alwi di sini selain boleh juga diperoleh di Pusat Pertanian Bukit Bintang, Jalan Sungai Batu Pahat di sini.

Sementara itu, Pengarah Pertanian Negeri, Zulkefli Amin Mat Jusoh berharap penduduk di Perlis lebih kreatif dalam menghasilkan produk hiliran berasaskan harumanis.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya ia memberikan ke­lebihan untuk usahawan di negeri ini untuk menggunakan harumanis yang hanya hidup subur di negeri ini mengeluarkan produk perniagaan yang baharu.

Zulkefli berkata, pelancong bukan sahaja boleh datang ke Perlis untuk menikmati keenakan harumanis malah boleh membeli produknya di luar musim sekaligus nama harumanis tidak hanya menjadi sebutan setahun sekali sahaja.