Tanggapan itu mungkin hadir daripada mereka tidak pernah mengunjungi negeri ini, namun bagi sesiapa sudah bertandang ke sini, pastinya mengakui bahawa Perlis tidak ketinggalan daripada aspek tarikan pelancongan.

Perkara itu diakui sendiri oleh delegasi yang terdiri daripada 38 eksekutif kanan yang mewakili syarikat pelancongan daripada 25 negara yang berkesempatan mengunjungi negeri ini sempena Program Perlis Royal Tour (Lawatan Diraja Perlis) baru-baru ini.

Kumpulan tersebut adalah sebahagian daripada 1,400 perwakilan daripada 70 negara anggota Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang menyertai PATA Travel ­Mart 2018 di Langkawi, Kedah dari 12 hingga 14 September lalu.

Delegasi tersebut yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Datuk Azizan Noordin itu sempat mengunjungi beberapa tempat menarik di negeri ini seperti Gua Kelam dan Taman Herba, Bukit Ayer.

Selain itu, mereka juga bertuah apabila berpeluang melawat Galeri Diraja Arau selain menikmati santapan tengah hari bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang menyambut serta mengalu-alukan kedatangan rombongan berkenaan.

Selain berkesempatan melawat tempat menarik di sini, delegasi itu juga teruja apabila dihiburkan dengan persembahan kebudayaan negeri ini pada majlis berkenaan.

Azizan berkata, delegasi tersebut dibawa melawat ke tempat menarik bagi mempromosikan negeri ini kepada mereka.

Katanya, kebanyakan eksekutif pelancongan daripada pelbagai negara itu mengakui Perlis mempunyai keistimewaan sekali gus memberi pengalaman berharga kepada mereka.

“Kita berharap pengusaha pelancongan di negeri ini tidak melepaskan peluang memperkenalkan pakej menarik kepada delegasi berkenaan untuk dipromosikan di negara mereka.

“Rata-rata daripada delegasi berkenaan juga memaklumkan bahawa Perlis mempunyai daya tarikan pelancongan tersendiri dan berdaya saing,” katanya.

Untuk rekod antara ikon dan tempat menarik di Perlis ialah Gua Kelam, Tasik Melati, Taman Ular, Taman Herba Bukit Ayer, Muzium Kota Kayang, kawasan arked bebas cukai Padang Besar dan Taman Negeri di Wang Kelian.