Titah baginda, semua pihak khususnya guru, pelajar, ibu bapa, badan bukan kerajaan dan industri perlu memberi sokongan menyeluruh bagi meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat terhadap kepentingan STI.

"Ledakan teknologi dengan Revolusi Industri 4.0 memerlukan kesiapsiagaan semua pihak kerana penerapan minat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu diberi perhatian serius.

"Perkara ini amat penting bagi memastikan negara mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi selari dengan keperluan negara menjelang tahun 2050," titah baginda ketika melancarkan Minggu Sains Negara peringkat negeri Perlis di Dewan Warisan di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah penggunaan plastik dalam pembangunan hari ini yang semakin meningkat perlu ditangani secara bijak selari dengan hasrat kerajaan melalui penetapan sasaran dan inisiatif kementerian.

Menurut baginda, penguatkuasaan secara holistik terhadap kilang kitar semula sisa plastik khususnya kilang haram perlu dipertingkatkan.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah Perlis juga tidak terkecuali kerana pintu masuk melalui Padang Besar dan Wang Kelian berpotensi menjadi laluan kemasukan sisa plastik.

Terdahulu, Isnaraissah Munirah dalam ucapannya berkata Minggu Sains Negara adalah antara inisiatif kementerian untuk memupuk minat masyarakat terhadap ilmu sains dan bagi menyokong usaha kerajaan dalam bidang STEM bagi menggalakkan pembangunan dan kemajuan STI negara. - BERNAMA