Syariat, titah baginda, jika kita mengikuti dan taat kepadanya akan membawa kebaikan kepada diri serta keseimbangan hidup di dunia.

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Perkampungan Sunnah Siri-6, 2019’ yang diadakan di perkarangan Masjid Alwi Kangar malam semalam.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda ke majlis yang bertemakan ‘Maqasid Syariah Dalam Kehidupan Ummah’ itu disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Turut hadir ialah penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik.

Baginda turut berharap agar ‘Perkampungan Sunnah Siri Ke-6’ ini akan memberikan pendedahan dan pencerahan kepada hadirin berkenaan permasalahan ini.

"Kupasan yang diberikan berkenaan Maqasid Syariah dalam segenap kehidupan kita, seperti maqasid dalam isu ekonomi, sosio-masyarakat, politik dan akhlak kehidupan termasuklah para ulama’ yang membincangkan soal ini," titah baginda.

Terdahulu daripada itu, turut diadakan ialah Slot Kursi Jamalullail yang disampaikan oleh Prof Dr Mohammed Abul Lais disusuli dengan forum berjudul ‘Maqasid Syariah Dalam Konteks Malaysia oleh ahli panel Datuk Dr Juanda Jaya dan Dr Muhamad Rozaimi Ramle. - UTUSAN ONLINE