Begitulah rezeki seorang pelajar yang memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Peugeot 3008 bernilai lebih RM150,000.

Pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berusia 21 tahun itu diumumkan sebagai penerima hadiah tersebut pada acara kemuncak Perlis Maraton 2019 di pekarangan Kompleks Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini.

Nur Nailah Mohd. Nordin yang berasal dari Bachok, Kelantan itu melahirkan rasa syukur dengan rezeki yang tidak disangka-sangka itu dan bakal menggunakan kereta baharu tersebut sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya masih terkejut dengan pengumuman itu (memenangi hadiah kereta). Saya mendedikasikan kemenangan ini kepada kedua ibu bapa saya yang berada di kampung.

“Sebelum ini, saya hanya mempunyai kereta Proton Saga dan hari raya tidak lama lagi ini lebih bermakna apabila boleh menggunakan kereta baharu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hadiah tersebut yang ditaja oleh Naza Automotif Manufacturing itu disampaikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, penganjuran Perlis Maraton 2019 yang masuk edisi kelima tahun ini terus mendapat sambutan apabila disertai lebih 13,000 peserta.

“Beta mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya menganjurkan temasya yang hebat ini. Penganjuran Perlis Maraton ini turut menarik pelancong untuk datang ke negeri ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE