Pengasas Maahad Tahfiz Darus Sunnah (Maqdis), Abd. Wahid Mahmud,65, berkata, tidak salah jika peruntukan itu disalurkan untuk memperkasakan pusat-pusat tahfiz di negara ini khususnya sekolah yang masih memerlukan bantuan.

Dalam masa sama, katanya, pusat-pusat tahfiz ini juga dinasihatkan mendaftar di bawah jabatan agama di setiap negeri bagi memudahkan mana-mana pihak menyalurkan dana atau sumbangan.

“Pusat- pusat tahfiz ini selalunya bergerak sendiri dengan mengharapkan sumbangan orang ramai untuk bergerak. Disebabkan itu, kadang-kala beberapa aspek seperti keselamatan termasuk keperluan sukar dipenuhi.

“Apa yang penting, daftar dulu (dengan jabatan agama) dan mengikut prosedur betul untuk beroperasi. Seperti Maqdis, kami berada di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), jadi tidak ada masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan JBPM mendapati sebanyak 495 buah daripada 1,267 pusat tahfiz yang diperiksa di seluruh negara berdepan risiko kebakaran sekali gus boleh mengundang bahaya kepada penghuninya.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, selepas pemeriksaan dilakukan, hanya 772 pusat tahfiz menepati kriteria ditetapkan JBPM.

Tambah Abd. Wahid, kebanyakkan pusat tahfiz yang tidak berdaftar selalunya menghadapi masalah tersebut kerana kekurangan dana untuk melakukan penyelenggaraan.

Katanya, di Perlis, kebanyakkan pusat tahfiz berdaftar dengan MAIPs dan JAIPs sekali gus tidak timbul soal kekurangan dana ini.

“Saya juga berharap agar pusat-pusat tahfiz ini terus diberikan perhatian selain dibantu jika mereka mempunyai masalah kewangan,” katanya yang menubuhkan Maqdis sejak tahun 2012. - UTUSAN ONLINE