Pengarah JPN negeri, Mohd. Nasharudin Md. Yusof berkata, pihaknya akan cuba membantu mempercepatkan proses permohonan MyKad tiga beradik berkenaan yang masing-masing berumur 19, 15 dan 10 tahun itu.

Katanya, masalah tersebut timbul selepas didapati ibu bapa remaja tersebut lambat mendaftar perkahwinan meskipun sudah mempunyai anak pada masa itu.

Selain itu, kata beliau, status ibu mereka yang masih memegang kerakyatan Thailand turut merumitkan proses permohonan tersebut.

“Bagaimanapun, permohonan tiga beradik itu sudah melepasi peringkat negeri dan kini cuma menunggu kelulusan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Hasil semakan, status permohonan mereka sudah berada di peringkat KDN yang akan memutuskan sama ada permohonan lulus atau sebaliknya.

“Hal ini kerana hendak beri warganegara ini adalah anugerah tertinggi dalam Malaysia, jadi perlukan pertimbangan yang lebih teliti,” katanya ketika ditemui semasa melawat keluarga itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh, Rozieana Ahmad di sini hari ini.

ROZIEANA AHMAD
ROZIEANA Ahmad (dua dari kanan) bersama Mohd. Nasharudin Md. Yusof (baju merah hitam) melawat keluarga tiga beradik yang tidak mempunyai MyKad di Kampung Pauh Setia, Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN ONLINE

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, dilema seorang bapa selepas permohonan tiga anaknya untuk memiliki MyKad masih belum diluluskan.

Keratan akhbar Mykad
KERATAN akhbar Utusan Malaysia hari ini mengenai dilema bapa selepas tiga anaknya masih tidak mempunyai MyKad.- UTUSAN ONLINE 

Berikutan itu, tiga beradik tersebut terpaksa menempuh pelbagai kekangan seperti sukar melanjutkan pelajaran, memohon pekerjaan dan banyak lagi halangan berikutan masalah berkenaan.

Tambah Nasharudin, proses kelulusan itu berkemungkinan memakan masa antara enam sehingga 12 bulan bergantung kepada siasatan pihak KDN.

Sementara itu Rozieana yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya membantu keluarga ini agar anak-anak mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

“Macam mana pun, kita akan terima mereka masuk ke sekolah terlebih dahulu dan keperluan atau bantuan lain khususnya daripada segi pinjaman buku teks dan sebagainya akan menyusul kemudian,” katanya.- UTUSAN ONLINE