Itu antara keluhan pemandu teksi dan kereta sewa di negeri ini yang mengakui pendapatan mereka terjejas teruk khusus­nya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini selepas kewujudan perkhid­matan e-hailing Grab.

Malah rata-rata daripada me­reka yang memperolehi pendapatan kira-kira RM10 dan RM20 sehari itu turut meluahkan dengan jumlah sekecil itu tidak mampu untuk mereka menampung perbelanjaan harian.

Pemandu kereta sewa, Mohd. Farid Samad, 50, berkata, pendapatannya sejak akhir-akhir ini terjejas teruk sehingga hendak mendapatkan RM10 sehari pun susah.

Beliau yang telah lebih 10 tahun memandu kereta sewa berkata, jika dahulu sebelum wujudnya Grab, dia mampu menjana pendapatan RM50 sehingga RM60 iaitu jumlah yang agak banyak bagi pemandu kereta sewa dan teksi di negeri ini.

“Selalunya saya keluar rumah pukul 7 pagi bagi mencari penumpang, namun kadang-kadang balik tangan kosong. Itu realiti yang bukan sahaja dihadapi oleh saya, malah pemandu-pemandu lain.

“Dengan jumlah itu, ba­gai­mana saya hendak menampung perbelanjaan harian de­ngan dua orang lagi anak yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di stesen kereta sewa Ka­ngar, di sini, hari ini.

Seorang lagi pemandu, Din Osman, 44, berkata, Perlis ini bukan sebuah negeri yang besar dan mereka rata-ratanya hanya bergantung kepada pelanggan yang terdiri daripada pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan pelajar kini lebih selesa menggunakan perkhidmatan Grab berbanding teksi dan kereta sewa.

“Semalam, daripada pukul 6.30 pagi sehingga pukul 7 petang, saya hanya memperolehi pendapatan RM10. Kadang-kadang paling banyak pun RM30. Situasi sama juga berlaku pada hari minggu.

“Situasi sekarang sudah tidak seperti dahulu dan saya bimbang jika masalah ini tidak diatasi dengan segera, industri teksi ini akan pupus dalam tempoh terdekat. Siapa lagi hendak bawa teksi jika pendapatan hanya RMN10 sehari,” katanya.

Fazil Samad, 54, pula berharap kerajaan memandang serius masalah yang dihadapi oleh pemandu teksi ini.

“Bukan kita suruh hapuskan Grab tetapi sekurang-kurang­nnya Grab mesti ikut prosedur seperti mana kereta sewa dan teksi. Kita lihat Grab ini terlalu mudah, siapa ada kereta boleh mencari makan dengan Grab ini,” katanya.