Pesta tahunan yang menjadi ikon di Perlis itu dihadiri lebih 100,000 orang pengunjung sepanjang tiga hari program tersebut berlangsung bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Persiaran Wawasan di sini.

Seperti biasa acara yang masuk tahun ketujuh pe­nganjurannya itu tidak pernah mengecewakan dengan pelbagai aktiviti menarik disajikan khususnya melibatkan pertan­dingan sukan rakyat seperti lumba kerbau besi, menangkap itik dan banyak lagi.

Pesta Angin Timur yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis itu turut menampilkan persembahan artis iaitu Datuk Nassier Wahab.

Menteri Besar, Datuk Azlan Man berkata, Pesta Angin Timur mempunyai keunikan tersendiri iaitu diadakan bersempena de­ngan peredaran musim panas.

Katanya, program tahunan itu juga dijadikan sebagai platform yang memberi kelebihan kepada Perlis untuk mempromosikan negeri ini kepada pelancong luar.

“Pada tahun ini, seperti kelazimannya pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan pertandingan dan sukan rakyat diadakan selain beberapa aktiviti baharu antaranya seperti fiesta gamelan Perlis, motor bendang terbuka dan pertandingan ikan laga cantik.

“Selain itu, terdapat lebih 30 agensi kerajaan, swasta, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam pameran dan jualan serta kaunter bergerak.

“Sebagai tarikan pengunjung, pelbagai persembahan kesenian disajikan kepada mereka,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian pesta berkenaan.

Yang turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Haslina Abdul Hamid dan barisan wakil rakyat negeri ini.

Sementara itu, Mohamaddin berharap Pesta Angin Timur dapat mengangkat seni budaya rakyat Perlis sekali gus bakal diwarisi oleh generasi akan datang.

“Saya berharap Pesta Angin Timur dapat diteruskan pada masa akan datang dan meninggalkan impak yang baik serta kenangan manis buat semua pengunjung,” katanya.