Beliau dilantik menggalas tugas sebagai Pengerusi LPU Unimap pada 1 Oktober lalu bagi menggantikan Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman.

Kamarudin yang juga bekas Naib Canselor pertama Unimap, sebelum itu memegang jawatan sebagai Pengerusi LPU di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) pada 31 Julai 2018.

Terdahulu, Kamarudin mengambil peluang bertemu dengan dekan-dekan serta ketua-ketua jabatan Unimap bagi menyampaikan amanat terakhir beliau sebelum meninggalkan kerusi Pengerusi LPU itu.

Beliau mengingatkan supaya Unimap mengambil peluang menguatkan lagi hubungan kerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi, memandangkan universiti itu masih dalam fasa membangun.

Katanya, selain itu jaringan industri juga harus dititiberatkan.

“Seterusnya, kita perlu membangunkan semula semangat kerja berkumpulan dan saling

menghormati antara kita mengenai bidang tugas bagi setiap pusat tanggungjawab,” kata beliau.

Dalam pada itu, Kamarudin berharap agar alumni-alumni Unimap kembali menabur bakti kepada universiti, sama ada dalam membantu menyumbangkan idea atau membina jaringan antara dua pihak ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr. Mohd. Foad Sakdan yang memangku tugas Naib Canselor, Prof Ir Dr. R. Badlishah Ahmad, turut menzahirkan penghargaan terhadap segala sumbangan Kamarudin.

R. Badlishah pada masa ini berada di luar negara atas urusan rasmi.

Untuk rekod, Kamarudin dilantik menjadi

Rektor Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) yang ketika itu beroperasi di kampus sementara di Kubang Gajah, Arau, sebelum dijenamakan menjadi Unimap.

Majlis perasmian Unimap disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Unimap. - UTUSAN ONLINE