Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis pecah tanah projek itu.

Berkenan berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pembinaan jeti itu yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan September ini, menjadi pemangkin untuk membawa Sanglang dan ne­geri ini ke persada perdagangan maritim antarabangsa.

“Kerajaan negeri juga berharap rakyat negeri ini mendapat faedah terhadap kesan ekonomi secara langsung mahupun tidak langsung untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya dalam majlis tersebut di sini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Pengerusi Mutiara Perlis Sdn. Bhd., Datuk Shabaruddin Ibrahim.

Azlan berkata, semua pihak perlu berusaha gigih meneroka sumber laut supaya kejayaan dalam sektor pelancongan, kargo dan perikanan di negeri ini dapat dilonjak ke perdagangan antarabangsa berikutan pembinaan jeti bersepadu di Sanglang.

Ini termasuklah, kata beliau, menawarkan perkhidmatan feri membawa kargo kenderaan be­roda (RoRo) merentas sempadan di negeri ini sehingga ke Acheh, Indonesia dan Phuket, Thailand pada masa depan.

“Kita jangka lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara (dengan pembinaan jeti) akan memasuki Perlis seperti industri pengilangan, pembuatan dan pembungkusan.

“Kita juga berharap nelayan negeri ini mampu belayar mencari rezeki sehingga ke Lautan Hindi dan berdagang ke Eropah dan Asia Barat,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan berkata, Kuala Perlis terus kekal sebagai jeti pendaratan ikan untuk bot-bot kecil dan perkhidmatan feri ke Langkawi, Kedah.