Profesor Pelawat Pusat Kajian Timur-Barat University of Hawaii Honolulu, Amerika Syarikat, Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, perkara itu jelas walaupun media-media barat cuba menafikannya dengan hanya melaporkan serangan itu dilakukan oleh lelaki bersenjata.

Beliau yang juga Pakar Deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa perbuatan pengganas adalah merentasi agama, etnik dan negara dan adalah sesuatu yang amat tidak adil apabila hanya mengaitkan kejadian itu dengan Islam semata-mata.

“Kalau kita lihat manifesto Brenton Breivick Tarrant (penembak yang memperkenalkan diri sebagai seorang lelaki berkulit putih, berusia 28 tahun dan dilahirkan di Australia) berjumlah 74 muka surat yang dimuat naik sebelum serangan tersebut jelas dia membenci Islam.

“Dia (suspek) menganggap orang Islam sebagai imigran yang mengambil tanah tumpah darah mereka, menganggap Islam mempunyai kadar kelahiran tinggi yang akan menguasai negara mereka dan juga faktor dendam atas serangan pengganas di Eropah serta penjajahan umat Islam dan Turki serta pembebasan Hagia Sophia di Istanbul, Turki,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Mohd. Mizan, Tarrant meletakkan nama ‘tengah’ beliau sebagai Breivick, iaitu dengan mengambil inspirasi daripada Andrei Brevick yang berfahaman Neo-Nazi dan White Supremacy.

Katanya, Breivick telah melakukan serangan di Sweeden dan Pulau Utoya yang membunuh 77 orang pada 22 Julai 2011 iaitu modus operandi yang hampir sama digunakan oleh Tarrant.

Menurut beliau, malah sifat ekstrem sebegitu boleh wujud dalam diri sesiapa sahaja termasuklah di Malaysia jika sekiranya tidak dibendung pihak berkuasa dengan sebaiknya.

“Buktinya, New Zealand yang terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan berkecuali serta menjadi pilihan migran termasuklah dari Malaysia (terdapat 1,247 orang rakyat Malaysia di Christchurch atau kira-kira 15,000 orang di seluruh New Zealand) turut tidak terlepas daripada serangan pengganas ini.

“Kelompok berfahaman ekstrem ini tidak perlu ramai... Seorang sahaja sudah cukup kerana kerosakan yang dilakukan amat ketara,” katanya lagi.

Menurut beliau, golongan seumpama itu mempunyai objektif yang jelas iaitu untuk menyampaikan mesej dan menimbulkan ketakutan kepada masyarakat umum dengan mengakibatkan kematian dan kemusnahan yang besar.

Dalam pada itu, Mohd. Mizan seterusnya menyifatkan bahawa pihak berkuasa New Zealand yang mengambil mudah terhadap pengganas bukan Islam, telah terlepas pandang elemen radikal yang sebenarnya telah dimuat naik oleh si penyerang di media sosial lebih awal.

“Pengawalan pemilikan senjata api juga dilihat lemah dan ini jelas dapat dilihat dalam video yang tersebar bahawa si pelaku memiliki lebih lima pucuk senapang patah, semiautomatik serta bom yang diletakkan dalam kenderaan.

“Selain itu, kelewatan pihak keselamatan negara berkenaan sampai ke tempat kejadian menunjukkan bahawa New Zealand tidak menumpukan kawalan ketat di tempat-tempat ibadat seperti masjid dan gereja,” katanya. - UTUSAN ONLINE