Sebaliknya, Noor Fatini Aina Md. Noor, 21, terus berusaha mencari secara dalam talian bagi membolehkannya mencapai impian memasuki bidang yang dicintainya itu.

Ibunya, Fatimah Khairi, 55 berkata, mereka akhirnya menemukan seorang pegawai di Unit Kemasukan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di alam maya yang seterusnya meminta anaknya menghantar permohonan terus ke universiti itu.

Katanya, berkat kesabaran Noor Fatini Aina yang memperoleh keputusan 9A 1B itu, dia kemudian berjaya diterima memasuki pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik melalui saluran khas.

“Alhamdulillah tertulis rezekinya di sini (Unimap). Meskipun lewat mendaftar, saya berharap dia (Noor Fatini Aina) dapat menyesuaikan diri dan berusaha untuk mengikuti kelas-kelas yang telah bermula sejak Jun lalu,” ujarnya.

Fatimah ditemui sewaktu menemani Noor Fatini Aina mendaftar di Kolej Kediaman Unimap Tengku Fauziah di Pauh Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Noor Fatini Aina yang turut hadir bersama bapanya, Md. Noor Othman, 55, diberikan penerangan ringkas oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Unimap, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan; Dekan Pusat Pengajian Diploma (PPD), Prof. Madya Dr. Hakimah Osman dan Pengerusi Rancangan Diploma Kejuruteraan Elektrik, Mohd. Shukor Abdul Rahim.

Menceritakan kisah pelajar itu, Fatimah memberitahu, pada mulanya, Noor Fatini Aina mengisi pengajian kejuruteraan di dalam borang Unit Pusat Universiti (UPU) secara dalam talian.

“Meskipun tahu akan gagal, tetapi Noor Fatini Aina berkeras mahu memilih bidang itu juga kerana minat namun keputusan yang diterima menghampakan. Disebabkan itu, dia terpaksa menunggu lebih setahun sebelum dapat menyambung pengajian,” katanya.

Tambah Fatimah, anak bongsu daripada dua beradik itu telah dikategorikan OKU selepas mengalami masalah peti suara dan tidak dapat bercakap akibat diserang demam panas pada 2013.

“Noor Fatini telah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gurun sebelum muncul pelajar terbaik SPM di negeri Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Foad berkata, tawaran tersebut dibuat atas kelulusan Naib Canselor berdasarkan inisiatif Kementerian Pendidikan yang menyediakan laluan khas kemasukan kepada empat golongan ke Universiti Awam (UA) iaitu OKU, atlet, Orang Asli dan golongan kurang berkemampuan. - UTUSAN ONLINE