Mereka akan bertindak untuk apa juga bentuk insiden dan kecemasan tanpa mengira masa, cuaca, lokasi dan kepentingan diri. Tugas mereka perlu sentiasa didahulukan.

Anggota Bomba juga menjalankan tugas tanpa mengira kaum, keturunan, tua, muda dan yang penting sekali ialah tugas mereka perlu dilaksanakan dengan jayanya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengadakan kunjungan ke Kompleks Ibupejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Perlis di Kangar bersempena ‘Sambutan Hari Bomba Sedunia 2019 Peringkat Negeri Perlis’ yang disambut pada 20 Julai setiap tahun pada malam semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis, Ruhisha Haris, timbalan beliau serta para pegawai kanan jabatan berkenaan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menambah bahawa para anggota Bomba menjalankan khidmat kemanusiaan, termasuk perlindungan nyawa dan harta benda semasa berlakunya sebarang bentuk kecemasan dan bencana.

Pada masa yang sama, mereka memainkan peranan utama dalam mendidik masyarakat tentang bahaya kebakaran bermula di peringkat awal yakni tadika lagi hinggalah dewasa agar kesedaran itu berterusan dan dapat membantu masing-masing dikala saat yang memerlukan.

Turut diadakan sebelum itu ialah sesi demonstrasi menyelamat mangsa yang tersepit di bawah kenderaan akibat kemalangan jalanraya yang diberi bantuan oleh para anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Perlis.

Untuk rekod, tema sambutan Hari Bomba pada kali ini ialah ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’.