Empat projek itu ialah Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Hospital Padang Besar, Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu di Seriab dan Sekolah Sukan di Bukit Chabang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kesemua projek tersebut yang diletakkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) kini tertakluk kepada arahan Kementerian Kewangan untuk dinilai semula kerana kurang 15 peratus siap.

Kata beliau, berikutan itu, kerajaan negeri menulis surat rasmi kepada Kerajaan Persekutuan supaya melihat semula status penangguhan projek berkenaan.

“Sekiranya projek ini tidak dilaksanakan, ia akan memberi kesan kepada pembangunan dan ekonomi di Perlis. Segala pelaburan jutaan ringgit untuk mendapatkan khidmat konsultan juga akan menjadi sia-sia.

“Sudah tentu agenda kerajaan negeri yang dirancang selama lima tahun lalu untuk membawa Perlis menjadi sebuah negeri bandar raya menjelang 2030 dan setanding negeri-negeri lain, juga tidak akan tercapai,” katanya ketika ditemui semasa Penggal Persidangan Pertama DUN Ke-14, di sini hari ini.

Azlan berkata, kesemua projek berkenaan yang dirancang sebelum ini adalah untuk kepentingan rakyat negara ini secara keseluruhannya dan bukannya kepada negeri ini sahaja.

Menurutnya, terdapat projek yang merupakan pelaburan swasta iaitu Pelabuhan Darat Perlis (PIP) turut tertangguh tetapi memerlukan sokongan pelaburan prasarana daripada Kerajaan Persekutuan.

“Maka sebab itu, projek ini (PIP) terjejas sementara. Begitu juga pembinaan Jeti Bersepadu Sanglang, walaupun merupakan pelaburan swasta tetapi tetap memerlukan sokongan prasarana seperti jalan raya daripada Kerajaan Persekutuan pada masa depan,” katanya.