Baginda bertitah, industri pelancongan berpotensi untuk membantu usaha pembangunan negeri ini.

“Bagi menyuburkan industri pelancongan, beberapa acara utama telah pun dilaksanakan setiap tahun seperti Pesta Air Kuala Perlis, Pesta Angin Timur, Perlis Marathon dan Malaysian Rally Of Perlis selain pelbagai pertandingan woodball yang kini sinonim dengan negeri ini.

“Beta percaya jika acara-acara ini dinaik taraf lagi serta dipromosikan dengan lebih hebat mampu menjadi pemangkin dalam menyemarakkan aktiviti pelancongan di negeri ini pada masa hadapan,” titah baginda.

Demikian titah baginda semasa berkenan berangkat meluangkan masa untuk singgah melawat di beberapa buah kampung di Kuala Perlis untuk beramah mesra dengan rakyat setempat di sini, semalam.

Selain itu, baginda turut berkenan meninjau sendiri persiapan terakhir pasukan yang bakal mengambil bahagian sempena Pesta Air Kuala Perlis 2018, selama dua hari yang bermula esok.

Tuanku Syed Faizuddin berangkat dengan berbasikal bersempena kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali ke-76 bagi tahun ini anjuran MAIPs yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Terapung Al-Hussain.

Dalam pada itu, pertandingan-pertandingan akhir bagi pelbagai kategori dan majlis perasmian penutupan serta penyampaian hadiah akan disempurnakan baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Antara aktiviti menarik yang dianjurkan pada kali ini adalah seperti berikut :

1. Perahu Panjang P20 Kategori Jemputan/Antara Negeri.

2. Perahu Panjang P20 Kategori Jabatan/Agensi Dalam Negeri.

3. Perahu Panjang P14 Kategori Antara Kampung Di Dalam Negeri.

4. Perahu Panjang P12 Kategori Antara Kampung Di Dalam Negeri.

Selain itu, sukan rakyat iaitu Pukul Bantal, Panjat Tiang Licin, Buboi (Sirat) Pukat dan Menjala Ikan.

Hadiah bagi acara perahu adalah di tempat pertama (RM3,000 dan medal) diikuti tempat kedua (RM2000 dan medal), tempat ketiga (RM1000 dan medal) serta tempat keempat (RM800). - UTUSAN ONLINE