Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 3,394 rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kangar, Kuala Perlis, Jejawi dan Arau.

Beliau berkata, selain itu, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) 463 unit, Penempatan Semula Nelayan, Kuala Perlis (300 unit) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) 400 unit di Arau dan 500 unit di Padang Besar.

“Kerajaan negeri akan memohon 500 unit PPR lagi daripada Kerajaan Persekutuan untuk dibina di Kangar,” katanya semasa membentangkan Bajet 2018 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menafikan negeri ini ke­tinggalan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Saya akui memang tiada projek khusus yang disebut (Perdana Menteri) tetapi tidak bermakna Perlis tidak mendapat apa-apa.

“Hakikatnya sebanyak 83 projek telah pun diluluskan Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Rolling Plan Ketiga untuk 2018/2019 melibatkan jumlah RM227.69 juta,” katanya.

Azlan berkata, antara projek berkenaan melibatkan pemba­ngunan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) iaitu RM108.8 juta diikuti pembinaan kemudahan infrastruktur Kawasan Perindustrian Lembah Chuping-CVIA (RM40 juta); Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri (RM36 juta), Mahkamah Kangar (RM25 juta) dan infrastruktur luar Pelabuhan Darat Perlis (RM10 juta).