Situasi itu umpama 'perang' antara peniaga apabila mereka dilihat cuba menarik perhatian pelanggan singgah di gerai masing-masing dengan menaikkan pelbagai papan tanda dan kain rentang.

Tinjauan Utusan Online mendapati terdapat  13 gerai putu halba di sepanjang 2 kilometer jalan tersebut.

Salah sebuah gerai di kawasan itu berjaya mencuri tumpuan apabila membuat kelainan dengan menjual putu halba madu.

Pemilik gerai, Nor Syazwani Azuri, 29, berkata, dia memperkenalkan putu halba madu kerana mahu memberikan nafas baharu kepada makanan tradisi rakyat Kelantan itu.

"Pada mulanya saya menggunakan madu kelulut sebagai inti di dalam putu halba namun membatalkannya selepas ada pelanggan mendakwa madu yang dimakan bersama ubi boleh mendatangkan kemudaratan.

 "Bagi mengekalkan gelaran 'putu halba madu', saya menggunakan gula melaka lebih banyak berbanding biasa dan hasilnya digemari pelanggan," katanyaz

Secara purata, Nor Syazwani mampu menjual kira-kira 20 kilogram putu halba setiap hari.

"Permintaan putu halba menjadi tinggi setiap kali hari hujan turun dengan lebat," katanya. -UTUSAN ONLINE