Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismai berkata, pengeluaran telur ayam di negara ini sentiasa berada pada paras 120 peratus seperti mana yang direkodkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Katanya, selain daripada membekalkan telur ayam untuk kegunaan domestik, pengusaha telur ayam juga mengeksport ke luar negara terutama ke Singapura dan Hong Kong.

“Setakat ini tidak sampai ke pengetahuan saya berlaku lambakan, cuma yang boleh saya sebutkan adalah peratus pengeluaran telur ayam dalam negara mencecah hingga 120 peratus. Itu rekod daripada Jabatan Veterinar.

“Jadi, sama ada itu adalah bekalan lambakan atau lebihan (tidak pasti) kerana pengeluaran telur ayam ini bagi menjamin bekalan mencukupi di dalam negara dan eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Agung Dwitahunan Perwakilan Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (Imami) 2019/2021 di Dewan Seri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan turut dihadiri Penaung Imami, Tan Sri Abdullah Ahmad Nasution dan Presiden Imami, Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Saifuddin mengulas dakwaan berlaku lambakan telur ayam dalam pasaran yang dikatakan menjadi antara sebab penurunan harga bekalan tersebut. - UTUSAN ONLINE