AMINUR REDZUAN
AMINUR REDZUAN 

Ini ekoran penubuhan Kelab Pemanah Banjarian al-Muhiq sejak dua tahun lalu yang ditubuhkan hasil gabungan daripada lima kelab kecil memanah di sekitar daerah ini iaitu dari Parit Haji Ali, Batu Lima, Parit Madang, Bagan Serai dan Parit Buntar.

Pengerusi kelab itu, Aminur Redzuan Mohd. Shokri berkata, nama kelab tersebut bermaksud ‘pemanah Banjar yang tetap’ dan setakat ini mempunyai seramai 38 ahli yang aktif termasuk ahli wanita dan kanak-kanak.

Menurutnya, sukan itu di­perkenalkan oleh seorang individu, Ahmad Ishak Hasan dari Sarawak.

“Latihan ahli kelab diadakan di Lapang Sa­sar Parit Haji Ali, Kuala Kurau; Batu Li­ma Parit Buntar; Parit Madang, Alor Pongsu dan di Ba­gan Serai,” katanya.

Menurutnya, kelab itu juga aktif mengan­jurkan pelbagai kejo­hanan antaranya Kejohanan Terbuka Kerian, Liga Memanah Tradisional Kebangsaan Kali Ke-2 dan pertan­dingan mema­nah dalam dewan.

Selain itu, katanya, ahli kelab itu juga menyertai pelbagai pertandingan tahun lalu antaranya Jemputan Bintulu, Liga Memanah Kebangsaan 2018 Siri 1 di Sarawak, Pertandingan Memanah Trad Piala Sabasun di Terengganu, Pertandingan Memanah Ukhuwah Trad di Kedah dan Shooting Stars Challenge di Pulau Pinang dan pelbagai pertandingan lain.

Katanya, ahli kelab tersebut mendapat kedudukan yang ba­ik dalam beberapa ke­johanan yang disertai termasuk muncul juara.

“Kami turut membuka keah­lian kelab kepada sesiapa yang berminat termasuk murid sekolah. Ahli kelab ber­usia antara 18 tahun hingga 50-an.

“Kami juga melatih kanak-kanak dari umur enam tahun cuma mereka tidak didaftarkan sebagai ahli kelab. Insya-Allah kami dalam perancangan tahun ini untuk menarik lebih ramai pemanah cilik dan remaja sebagai ahli kelab.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk melatih mereka dengan harapan mereka menjadi pemanah yang berjaya dan terbaik satu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, kelab juga menjayakan aktiviti kemasyarakatan antaranya program jelajah kampung, program asas pengenalan memanah bersama badan kerajaan dan swasta.