Speaker DUN, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, persidangan kali ini akan memberi tumpuan kepada pembentangan Belanjawan 2019 bagi negeri Perak.

“Fokus utama sidang DUN ini ialah belanjawan negeri bagi tahun 2019. Bagaimanapun, terdapat lain-lain agenda, enakmen yang hendak diluluskan dan usul-usul yang akan dibawa pada persidangan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Koo Ham, bagi meneruskan usaha memartabatkan peranan pembangkang dalam DUN, ketua pembangkang diberikan tambahan masa selama satu jam lagi pada persidangan kali ini.

Menurut beliau, masa yang ditetapkan oleh ketua pembangkang untuk berbahas sebelum ini adalah selama 40 minit namun telah ditambah kepada satu jam semasa sidang DUN pada Ogos lalu.

“Tempoh satu jam itu diberikan kepada ketua pembangkang untuk beliau membuat penggulungan, kritikan atau pandangan terhadap jawapan yang diberikan oleh exco.

“Peluang tersebut diberikan kepada beliau selepas semua exco selesai menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sebelum Menteri Besar membuat penggulungan,” katanya.

Koo Ham memberitahu, pintu masuk ke Dun akan tetap dikawal oleh pegawai-pegawai keselamatan Dun namun pihaknya meminta bantuan dua anggota polis dari segi mengawal senjata api.

“Mereka yang membawa senjata api mesti serahkan senjata untuk disimpan dalam tempat simpanan yang ditetapkan. Pihak polis tidak mengawal pintu ke DUN tetapi hanya menolong dari segi keselamatan dengan memeriksa supaya tidak ada mana-mana pihak yang membawa senjata api masuk ke dewan,” katanya. - UTUSAN ONLINE