Sumbangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choi Tsi Jen itu diserahkan kepada Lembaga Pengurus SK Methodist Ho Seng Ong, Siu Tack Chuan dalam satu perjumpaan ringkas di sekolah berkenaan di sini.

Menurut Kah Woh, pada tahun lalu, pihaknya juga telah menyumbang sebanyak RM35,000 bagi penukaran atap bumbung di blok kelas sekolah tersebut.

"Sebelum ini, sekolah ini tidak diberikan keutamaan dari segi peruntukan kerajaan mahupun pihak lain.

"Namun, selepas pertama kali kami melawat sekolah ini pada Julai tahun lalu, kami dapati terdapat kebocoran pada bumbung blok sekolah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, setakat semalam, sebanyak RM544,374 sumbangan telah diserahkan kepada sekolah-sekolah dalam Parlimen Ipoh Timur yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Canning, Tebing Tinggi dan Pasir Pinji.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk bantuan untuk Kelas Pendidikan Khas bagi kemudahan kanak-kanak kurang upaya (OKU) di dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pasir Pinji 2.

"Bantuan-bantuan yang diberikan berbeza mengikut keperluan bagi setiap sekolah antara RM5,000 ke RM15,000.

"Selepas kita menerima permintaan, kita turun padang untuk melihat keperluan sekolah berkenaan demi manfaat para pelajar,"katanya. - UTUSAN ONLINE